dunno who would read it.
“Risha, ada kuliah lagi lepas ni?” Risha menoleh. Dia
baru melangkah keluar dari dewan kuliah bersama pelajar-pelajar yang lain
sebelum suara itu menyapanya. Dalam rimbunan pelajar-pelajar itu, Risha mencari
empunya suara. Puas sudah difikirnya siapa. Hanafi yang kebetulan bersebelahan dengannya juga menoleh serentak.
Alamak, Hisham rupanya! Hati Risha berasa sedikit
tidak keruan. Aduh, habislah aku macam ni. Aku tak ada moodlah nak pergi audition
tu dengan Hisham. Apa aku nak bagitau dia ni??
“Sham. Err..err..” Risha tergagap-gagap.
Hisham sudah berada di sisinya kini. Wajah cuak Risha
ditenungnya. Pelik. Biasanya Risha begitu girang bertemu dengannya. Tetapi
tidak kali itu.
“Risha… Err Risha ada tutorial jam 11, tapi Risha nak
ke Sekolah Seni dulu. Ada…erm…ada audition.” Ciss... Tak boleh pakai
punya lidah. Kenapalah kau bagitau Hisham jugak pasal audition tu??
Hanafi memberi isyarat tangan kepada Risha tanda ingin
berlalu dahulu. Lazimnya Risha tidak kisah jika Hanafi meninggalkannya berdua
dengan Hisham, tapi kali ini hatinya menjerit sendiri dalam hati supaya Hanafi
tidak meninggalkannya dahulu. Keadaan
antara Risha dan Hisham sudah tidak seperti dahulu lagi. Kali ini setiap detik
dirasakan janggal bersama dengan Hisham.
“Audition? Audition apa? Risha tak
bagitau Sham pun. Mommy tahu?” Hisham
mengerutkan dahinya. Jika dahulu, awal-awal lagi Risha sudah menjerit dalam
keterujaan di hadapannya jika ada peluang untuk di uji bakat.
Risha mengangkat bahu dengan lemah sekali. Hisham tahu
tentang Mommy Risha yang menyekat
aktiviti seninya pada tahun itu.
“Nak Sham temankan? Sham pun ada sejam lagi nak tunggu
kuliah.” Risha mengangguk, walaupun hatinya menjerit tidak mahu. Aduh Sham…
Kalaulah kau boleh baca terus isi hati aku ni, kan ke senang? Tak payah aku nak
rasa macam ni.
Kebetulan Sekolah Seni berada betul-betul di hadapan
dewan kuliah, jadi tidaklah berpeluh sangat jika berjalan kaki. Kehadiran
mereka disambut dengan iringan saksofon lagu ‘Di Mana kan Ku Cari Ganti’
nyanyian P. Ramlee. Risha tercari-cari notis di papan kenyataan jika ada
maklumat tentang uji bakat Ishak Romzie. Satu nota ringkas menarik
perhatiannya dihadapan studio S.
Kadarisman:
‘Ujibakat telemovie arahan Ishak Romzie ditunda.
Tarikh baru akan diumumkan bila sudah ditetapkan kemudian.’
Risha menghela nafas panjang. Dia
berasa sedikit kecewa.
Hisham
memandang Risha dengan rasa kasihan. Bahu Risha ditepuknya perlahan. “Tak
apalah, maybe next time sayang.”
Pujuknya. Hisham masih lagi tidak menampakkan sebarang syak kepada Risha.
“Yeah, may be
next time…”
“Risha, jangan sedih ok. Jom, kita ke kafe. Sham belum
sarapan lagi ni…” Hisham mengajak.
Terkebil-kebil Risha memandangnya. Aaaa… tak nak,
boleh tak?? Rayu Risha dalam hati. Entah kenapa, rasa bersalah kini acapkali
mengunjungi dirinya. Bersalah kerana membiarkan cinta Hisham berputik untuknya
selama hampir tiga tahun mereka berkenalan.
Dalam keterpaksaan, Risha akur juga dengan langkahan
Hisham.
“Eh, Hisham! Tak sangka jumpa you kat sini. You buat
apa kat sini?” Sapa seorang gadis seksi berambut perang. Seyumannya meleret
penuh keterujaan.
“Eh, Emelda. I
temankan my girl. Patutnya ada audition, kan sayang?” Hisham memandang
Risha. Risha tersenyum sambil mengangguk.
Wajah Emelda menjadi kelat dengan tiba-tiba. Berkerut
seribu dahinya. “Owhh. So you pun nak
audition jugak?” Tanyanya hambar.
Memang dia kurang senang dengan teman wanita Hisham itu. Hisham patut menjadi
miliknya. Bukan sekadar perempuan biasa-biasa seperti perempuan di hadapannya
itu.
Risha dan Hisham masing-masing dapat mengagak Emelda
berasa tercabar barangkali. Namun Risha masih dengan senyumannya. Memang
saingan pasti akan ada. Dia terima dengan hati terbuka.
“Yes, tapi audition tangguh. Tak tahu bila akan re-schedule.” Jawab Risha masih tanpa
syak wasangka.
Emelda kedengaran mengeluh. Pandangannya dialihkan
serta merta pada Hisham. “Ok lah
Sham. Nanti jumpa you kat kelas. Bye…” Tergedik-gedik Emelda melambai
pada Hisham sambil berlalu pergi. Risha tidak dihiraukannya langsung.
Hisham memandang Risha, tersengih sambil menjungkit
bahu. Memang Emelda selalu mengusiknya sebegitu. Namun dia langsung tidak
pernah ambil peduli. Cinta dan hatinya hanya milik Risha seorang. Sambil
bersarapan, Hisham rancak bercerita tentang teman sebiliknya, Syazwan, yang
sudah punyai pengganti Aisha walau hanya baru beberapa hari mereka putus cinta
gara-gara bapa Aisha yang tidak merestui perhubungan mereka.
Risha pula hanya melopong mendengarkan cerita Hisham.
Fikirannya melayang entah ke mana. Memang begitulah Hisham. Seorang jejaka yang
tampan, persis pan Asian walaupun hakikatnya dia berketurunan Melayu-Brunei menjadi
gilaan para gadis di universiti. Namun, hanya Risha yang menjadi pilihan
hatinya. Luarannya Hisham seorang yang pendiam, namun celotehnya pasti
berjela-jela tatkala bersama Risha seorang.
“Sebab itu Sham
rasa syukur sangat hubungan kita direstui oleh kedua-dua keluarga kita. Sham
yakin, Sham yakin sangat dengan cinta Sham pada Risha. Cinta Sham cuma untuk
Risha…” Hisham meyakinkan Risha seperti selalu, tangannya sempat menyisir
rambut Risha ke tepi bahu.
Risha tidak terkata apa-apa. Masih tidak berdaya lagi
rasanya dia hendak berterus-terang dengan Hisham. Risha…berterus-teranglah
Risha. Cakaplah Risha, cakap. Cakap saja yang selama ni kau cuba nak cintakan
dia, tapi hakikatnya tak boleh. Cakap saja yang selama ni kau ingat rasa suka
itu boleh disemai menjadi cinta. Cakap saja yang kau hanya senang berdampingan
dengannya, tapi hati kau susah untuk kau beri. Cakap Risha, cakap! Bentak
hatinya bertalu-talu.
Namun, tiada sebutir perkataan pun terkeluar dari
bibirnya itu. Akibatnya, Hisham masih lagi terpesona dengan cintanya. Masih
lagi mengharapkan masa depan mereka berdua. Sudahnya, Risha tersepit. Tersepit
antara kehendak hatinya dan rasa kasihan terhadap Hisham.
Habis bersarapan dia dan Hisham mengarah ke destinasi
masing-masing. Baru sahaja mahu melangkah keluar dari kafe, Risha bertembung
dengan Ishak Romzie yang lebih senang dipanggil Abang Is olehnya dan
pelajar-pelajar yang lain.
“Abang Is, kenapa tak jadi audition? Kesian
Risha tau. Hari tu lagi Wahab dah bagitau dengan Risha pasal audition
ni…” Adunya pada Ishak Romzie separuh merajuk.
Merah padam muka Ishak Romzie. Memang dia sensitif dan
lemah lembut orangnya. Apatah lagi calon pelakonnya itu mengadu sedemikian
padanya.
“Alaa Risha… Abang Is minta maaf banyak-banyak. Memang
abang suruh Wahab bagitau Risha, tapi last minute cancel dulu lah projek
ni Risha. Ada problem sikitlah…” Dia menyusun sepuluh jari di hadapan
Risha tanda kesal. Kasihan pula Risha melihat raut wajahnya yang begitu ikhlas
sekali menyatakan maaf. Bukan maksud Risha hendak menimbulkan kekesalan yang
teramat dalam dirinya.
“Problem apa Abang Is? Ada apa-apa yang Risha boleh
bantu ke?” Tanya Risha, ikhlas. Dia kelihatan agak kecewa. Iyalah, jika ada
apa-apa yang boleh dia bantu, Risha sedia menghulurkan bantuan. Lagipun Ishak
Romzie memang sudah banyak menolongnya. Entah bagaimana lagi harus dia membalas
jasa Ishak Romzie itu.
“Actually heronya abang memang dah ada,
tapi itulah…tight sangat schedule si hero ni. Itu yang kena ubah schedule tu.” Adunya pula. Risha
mengorak senyum. Pelakon popular gamaknya hero itu.
“Wah, bunyinya macam pelakon popular
je bang. Siapa dia?” Risha cuba mengorek.
Ishak Romzie
sudah mula mengukir senyum. Tidak lagi nampak kerisauan di wajah polosnya. Dia
semacam mahu menguncikan mulutnya sehingga Risha terpaksa merayu meminta
jawapannya. Berkali-kali juga Risha memaksa.
“Itu Abang Is tak boleh bagitau dulu. Mestilah rahsia.
Bukannya apa, takut nanti kalau Risha dah tahu, Risha tak nak pulak berlakon
dengan dia.” Katanya mahu berahsia lagi.
“Ala, tak acilah Abang Is ni. Macam
tak kenal Risha pulak. Risha tak kisahlah bang, yang penting dapat timba
pengalaman. Eh, Risha ni perasan je kan. Belumlah tentu lagi Risha dapat watak
tu.” Risha seakan baru teringat yang Ishak Romzie masih belum mengaudisinya
lagi. Risha malu sendiri.
“InsyaAllah Risha. Jika ada rezeki
Risha ya. Risha bagi nombor telefon Risha, nanti bila dah decide tarikh
bila nak buat, abang akan calling-calling.”
Janjinya. Risha tanpa berfikir panjang terus bertukar-tukar nombor dengan
pengarah muda itu.
Sudah satu hari suntuk Risha di
kampus, tiada masa untuk pulang ke bilik langsung. Makan di kampus, solat pun
di kampus. Hujan pula turun separa lebat, hampir kuyup juga baju Risha
dibuatnya. Malam itu ada kelas bahasa Sepanyol, jadi nampaknya Risha terpaksa
korbankan drama Pelangi Hati. Tidak dapat dia nak menatap wajah redup Marc Zahari,
pelakon yang menjadi igauannya saban hari.
Habis kelas jam 10 malam, Risha
tidak larat mahu mengulangkaji di bilik. Lemah longlai sahaja badannya menaiki
anak tangga ke bilik. Perut Risha juga sudah mula berlagu sepi, meminta untuk
diisi. Mahu ke kafe, tidak larat lagi untuknya berjalan. Lagipun badannya
terasa melekit-lekit, belum mandi pun lagi. Makan biskut sajalah perutnya malam
itu. Di bilik, tugasan yang ada cepat-cepat dikemaskinikan dan siap untuk
dihantar pagi esok. Kelopak matanya itu memang sudah terasa berat sangat.
“Aku
ngantuklah Biah… Aku tidur dulu lah ye.” Risha mengerling ke arah Salbiah
sambil memadam lampu di meja belajar. Salbiah kelihatan masih menghadap tv
berbekalkan komputer riba di pangkuan. Dia mengangguk sahaja, khusyuk nampaknya
menonton rancangan Just For Laugh itu.
“Oh ye Biah, tadi kau tengok tak
Pelangi Hati tu?” Tanya Risha. Mana tahu Salbiah sempat menonton. Salbiah
kurang menggemari drama berunsur cinta kerana minatnya lebih kepada drama atau
filem berunsur komedi. Nyata citarasa mereka agak berbeza.
“Aku sempat tengok hujungnya je.
Mira lari keluar negeri bila dapat tahu Saiful nak bertunang dengan Shazlin.
Lepas tu, bersambung...” ujar Salbiah.
Risha menjuihkan bibir, terpaksa tunggu minggu
hadapanlah jawabnya untuk menyaksikan sambungannya.
“Berjanggutlah aku nak tunggu
sambungannya nanti ni… Mana tahan rindu aku pada Marc Zahari…Owh, Marc Zahari
pujaan hatiku…” Risha dengan selamba bersenandung di atas katilnya sambil
terbayangkan wajah Marc Zahari.
Dusshhh! Terpana Risha seketika
dihempap batal busuk yang dibaling oleh Salbiah. “Haa…berangan je lah kau ni
Risha! Tu, Sham tu kau nak campak ke mana??”
Risha diam serta-merta. Dia mengetap
bibirnya. Perlukah dia beritahu perihal sebenar kepada Salbiah?? “Sebenarnya…sebenarnya
aku tak ada apa-apa perasaan pun pada dia Biah…” Terus-terang Risha menyatakan.
Bulat besar mata Salbiah terjegil.
“Haa?? Kau biar betul..!”
“Betul…”
“Serius?”
“Seriuslah Biah. Takkan aku nak
main-main pasal ni. Ni, tengok muka aku. Kau takkan tak perasan aku sugul je
dua tiga menjak ni…”
Salbiah
terdiam. Dia menghampiri Risha, pantas. “Ye lah. Kau kan primadona. Mana aku
nak teka kau serius ke main-main.”
Tidak, Biah. Aku bukan sang
primadona seperti yang kau dan yang lain-lain sangkakan. Jawab hati Risha
secara diam-diam.
“Sejak bila?” Salbiah menyoal,
seakan tidak percaya dengan pengakuan teman sebiliknya itu.
Lama Risha terdiam sebelum dia
menjungkit bahunya. “Sejak dari awal lagi..”
“Maksud kau, selama ni kau dengan
Hisham tu teman tapi mesra je lah ye?” Belum sempat Risha menghabiskan ayatnya,
Salbiah memotong.
“Entah. Iyalah kot. Entahlah Biah.
Aku pun tak faham maksud teman tapi mesra tu.”
Salbiah tiba-tiba tersenyum meleret.
“Ha..ada can lah aku nak couple
dengan dia…”
Risha mengeluh. “Tapi macam mana aku nak bagitau dia
apa yang aku rasa, Biah? Bolehkah dia faham dan terima? Mesti dia ingat aku
jahat, tapi bukan niat aku, Biah. Aku ingatkan sepanjang tempoh aku kenali dia,
perasaan aku akan berkembang menjadi cinta..tapi tak boleh Biah..aku tak boleh
paksa..”
“Tapi kau harus kesiankan dia, Risha. Apa yang aku
tengok, bukan main lagi dia tergila-gilakan kau. Bersinar-sinar matanya setiap
kali aku nampak dia bercakap dengan kau. Kau harus berterus terang dengan dia
secepat yang boleh Risha..kalau tidak, parah nanti. Hai..pelik jugak aku tengok
kau ni. Bukan main handsome lagi
mamat tu aku tengok, ramai peminat pulak tu. Itupun kau susah nak jatuh
cinta? Memanglah hati kau tu degil!”
Bebel Salbiah tak henti-henti.
“Huhu… Itulah yang aku tengah runsingkan sekarang ni
Biah. Aku kesiankan dia. Tapi aku pun tak tertanggung dalam hati aku ni.”
Salbiah menggeleng-geleng mendengarkan rintihan
sahabatnya itu. Nyatanya, dia juga tidak mempunyai pengalaman seperti itu
kerana dia sendiri tidak pernah punyai seorang teman lelaki.
“Macam nilah, Risha. Kau cubalah sebaik mungkin cakap
dengan dia. Ingat, cakap baik-baik. Bukan main buang, campak macam tu saja.”
Pesan Salbiah bersungguh-sungguh. Risha mengangguk perlahan.
“Thanks
Biah. Aku tidur dululah. Goodnight!”
Laung Risha dari bawah selimut. Salbiah kembali ke ketilnya. Namun, belum pun
sampai dua minit Risha melelapkan mata, telefon bimbitnya berbunyi. Lagu Kisah
Dongeng nyanyian Stacy berkumandang. Nama Salihin tertera...
TO BE CONTINUED
*****pls comment if you read this**winkwink**